KOTA KINABALU: “Sukar saya kata apa-apa bila mengingat wajah Aca (adik) saya yang terduduk diam di dalam bilik. Jika boleh diulang, biarlah saya yang menggantikan tempatnya.
“Sedih bila teringat kejadian itu kerana saya gagal menyelamatkan Aca yang berseorangan dan tidak tahu untuk melakukan apa-apa,” begitulah luahan seorang abang yang kehilangan ibu dan enam adiknya termasuk adik bongsunya yang berusia dua tahun dalam kebakaran di Kampung Lampijas, Membakut, di sini awal pagi tadi.
Lebih menyedihkan Rezwan Romel, 15, menyaksikan sendiri adik bongsunya Samasan, 2, terperangkap di dalam bilik di rumah mereka yang musnah terbakar.
Mencerita kejadian itu, Rezwan berkata, ketika itu dia bersama Rizal tidur di ruang tamu di tingkat atas lalu terjaga selepas terhidu bau asap.
“Bapa dan ibu tidur bersama dua adik saya di dalam bilik dan tiga lagi adik termasuk Aca tidur bersama di sebuah lagi bilik di tingkat atas dan sebaik terjaga saya dan Rizal bergegas mengejut mereka semua.
“Ketika itu, keadaan rumah dipenuhi asap dan api mula marak dan kami masing-masing cuba menyelamatkan diri. Pada masa itu, saya terlihat Aca duduk seorang diri di dalam bilik yang mana di bahagian pintu bilik itu mula terbakar.
“Saya kemudian menjerit ke arah Aca supaya tunggu saya masuk untuk selamatkannya dan pada waktu itu dia (Aca) hanya terduduk diam. Ketika mencari kain di luar rumah untuk menutup badan, tiba-tiba lantai rumah roboh menyebabkan saya terjatuh bersama bapa dan Rizal,” katanya ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini hari ini.
Menurutnya, dia amat kesal kerana gagal menyelamatkan adiknya itu lebih-lebih lagi melihat keadaan adiknya yang ketika itu hanya diam di dalam bilik yang terbakar.
“Malam sebelum kejadian saya ada bermain dengannya dan kami sempat membuat panggilan video kepada ibu kandung kami di Kinarut,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, ibu tirinya dan enam adiknya ditemui rentung oleh bomba sebaik api berjaya dikawal.
Mangsa terkorban iaitu Nadia, 25, warga Indonesia, enam adiknya dikenali sebagai Samasan Romel, 2; Faisal, 5; Danial, 7; Shasha, 10; Aisa, 13; dan Nana, 14.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK