MAYAT TERGANTUNG DI SURIA INANAM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung di kawasan terbuka, di Suria Inanam, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat terbabit kira-kira jam 3.30 petang.

“Sepasukan anggota kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan setakat ini identiti mangsa sudah dikenalpasti iaitu lelaki tempatan berusia 29 tahun.

“Siasatan lanjut turut mendapati mangsa tinggal di sekitar kawasan berkenaan bersama ibu saudaranya dan soal siasat terhadap ibu saudara mangsa mengatakan mangsa pernah tidak pulang ke rumah selama dua minggu sebelum ini.

“Mangsa bagaimanapun kembali semula ke rumah seminggu lalu dan dipercayai mengalami kemurungan sebelum menghilangkan diri semula,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Habibi berkata, mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan itu dipercayai menggantung diri berhampiran blok konkrit sebelum ditemui orang awam hari ini.

Katanya lagi, ahli keluarga mangsa yang berada di Tawau sudah dihubungi dan proses pengecaman akan dilakukan esok.

“Hasil pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian turut mendapati tiada unsur jenayah dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *