MUAFAKAT NASIONAL UBAH PENDIRIAN, MUHYIDDIN MENDAHULUI

KOTA KINABALU: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mendahului calon lain untuk menjadi Perdana Menteri selepas Muafakat Nasional yang sebelum ini mahu parlimen dibubarkan mengubah pendirian dengan menyokong Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri kelapan.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, hari ini.

“Ini bermakna seramai 57 ahli parlimen Umno dan PAS memberi sokongan penuh kepada YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin,” menurut kenyataan itu.

Keputusan terbaru itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agung hari ini bertitah akan meminta pencalonan perdana menteri selepas tiada pihak mendapat majoriti jelas.

Setakat ini, Muhyiddin memperoleh 36 sokongan daripada anggota parlimen partinya termasuk dipercayai kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam perkembangan terkini juga, MCA dan MIC turut menyatakan sokongan pada Muhyiddin. MCA mempunyai dua anggota parlimen manakala MIC satu kerusi dalam Dewan Rakyat.

Jika Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga menyokongnya, Muhyiddin selamat dengan sokongan 97 anggota parlimen.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pesaing terdekat Muhyiddin, kini hanya mendapat sokongan 92 wakil rakyat Pakatan Harapan.

Laporan Malaysiakini juga melaporkan dengan keadaan sekarang Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memiliki 18 kerusi dilihat berpotensi menjadi kingmaker (penentu), sekali gus menamatkan krisis politik sekarang.

Bagaimanapun, beberapa lagi parti termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya UPKO yang memiliki 10 kerusi, setakat ini, masih belum menyatakan pendirian masing-masing sama ada menyokong Muhyiddin atau Anwar.

Setakat ini juga, usaha Perdana Menteri Sementara, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk “kerajaan tanpa parti politik” juga dilihat telah menemui jalan buntu.