Agro Madani catat jualan RM93.7 juta tahun lalu

KUALA LUMPUR: Program Agro Madani anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sepanjang tahun lalu mencatatkan nilai jualan RM93.7 juta dengan membabitkan penyertaan 74,800 usahawan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Arthur Joseph Kurup, berkata program Jualan Agro Madani dianjurkan sebanyak 5,608 sesi, iaitu melebihi sasaran 5,000 sesi dan berjaya menarik 2.9 juta pengunjung sepanjang penganjuran program berkenaan.

“Program ini secara tidak langsung meningkatkan pendapatan pengeluar yang dapat menjual barangan atau hasil pengeluaran mereka terus kepada rakyat tanpa melalui orang tengah.

“Impaknya kepada masyarakat umum, kita berjaya memberikan penjimatan harga barangan sebanyak RM27.8 juta kepada lebih kurang 11.6 juta isi rumah di seluruh negara,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Jualan Agro Madani Mega.

Arthur berkata susulan sambutan menggalakkan, kementerian meneruskan serta memperluaskan pelaksanaan program Jualan Agro Madani kepada sasaran 5,000 sesi jualan menjelang Oktober 2024.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Mahfuz Omar, berkata penganjuran program Jualan Agro Madani Mega mampu menjadi platform pertemuan antara usahawan untuk memperkenalkan produk masing-masing terus kepada pemain industri.

“Sekarang kita cuba mempertemukan mereka iaitu pemain industri dengan usahawan-usahawan baharu yang lahir dan dibimbing oleh LPP, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), supaya mereka berpeluang untuk memasarkan produk mereka,” katanya.