Oleh: Cyn J.
PETALING JAYA, 25 Mei – Dua orang lelaki telah ditahan pada Sabtu atas kesalahan memiliki ladang ganja selepas polis membuat satu serbuan di kediaman mereka.
Menurut Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, benih pokok itu diperoleh daripada ganja mampat yang dibelinya di sekitar Kuala Lumpur tujuh tahun lalu dan suspek turut memprosesnya menjadi daun kering dan cecair untuk dijual kepada pelanggan tetap serta kenalan.
Beliau berkata, suspek mengaku menanam pokok ganja itu di kawasan seluas dua hektar di kediaman terpencil di Janda Baik, Bentong sejak 2015 yang dijaga dengan lapan ekor anjing selepas mempelajari kaedah menanam dan memproses dadah melalui YouTube.
Katanya, hasil pemeriksaan di belakang garaj rumah itu, polis menemui lima batas yang ditanam 60 pokok ganja dan lapan pokok di sebuah khemah.
“Polis turut menemui 34 pokok di tapak semaian, menjadikan keseluruhannya 102 pokok ganja ditemui dengan nilai rampasan RM61,200.
“Polis merampas daun kering ganja seberat 1.02kg bernilai RM2,500 dan cecair ganja dalam botol yang dijual pada harga RM250 sebotol,” katanya menurut laporan media.
Kes ini dianggap rampasan pokok ganja terbesar dalam sejarah narkotik negara kerana kebanyakan rampasan sebelum ini hanya membabitkan pokok ganja yang ditanam dalam pasu.
Sementara itu, Ramli dipetik Bernama berkata, lelaki berusia 78 tahun itu ditahan di rumahnya di Janda Baik pada 6.10 petang Sabtu lalu, manakala anak lelakinya yang berusia 53 tahun ditahan di Shah Alam, Selangor pada 5.30 petang kelmarin.
Katanya, ujian saringan air kencing ke atas warga emas itu didapati negatif dadah, tetapi dia mengaku memasukkan beberapa titisan cecair ganja itu dalam minumannya sejak tiga tahun lalu, sementara anaknya didapati positif dadah serta mengaku mula menagih sejak 2013.
Beliau berkata, mereka direman seminggu hingga Sabtu ini, manakala permohonan reman terhadap anaknya akan dibuat hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B serta 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.
More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK