Oleh: Cyn J.
KOTA KINABALU, 25 Mei – Kenyataan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengenai unsur rasuah membabitkan pembelian dalam sektor perkhidmatan kesihatan ketika negara dilanda wabak Covid-19 yang dikeluarkan semalam amat mengejutkan rakyat Malaysia.
Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke Siew Fook berkata, perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa dalam mengagihkan bantuan serta pakej ransangan tidak sepatutnya berlaku ketika rakyat sedang mempertaruhkan nyawa melawan wabak Covid-19.
“Seluruh rakyat Malaysia saya percaya berasa amat kecewa dan marah dengan pendedahan kes rasuah ini.
“Apa sudah jadi dengan nilai integriti dalam masyarakat kita sehingga ada orang yang sanggup mengambil kesempatan daripada satu malapetaka yang mengorbankan begitu banyak nyawa dan mengancam kehidupan semua rakyat Malaysia?
“Rakyat tidak boleh mengambil sikap tidak endah kepada masalah rasuah yang begitu teruk ini dan mesti tegas menuntut tindakan tegas diambil terhadap perasuah-perasuah yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan hari ini.
Bagaimanapun menurut Loke, untuk lebih telus SPRM perlulah memaklumkan kes tersebut dengan lebih banyak maklumat kepada rakyat.
Katanya, rakyat ingin tahu jabatan kerajaan mana yang terlibat, sama ada kes membabitkan peringkat Menteri, Timbalan Menteri dan nilai rasuah serta penyelewengan yang berlaku.
“Orang ramai berhak mengetahui lebih lanjut berkenaan kes-kes rasuah tersebut tanpa menjejaskan proses siasatan SPRM.
“Sekiranya identiti seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang sedang disiasat oleh SPRM boleh didedahkan secara terbuka, saya yakin SPRM boleh mengambil tindakan yang sama dalam kes rasuah yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti ini,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Loke menyeru Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM tampil memberi keterangan dan maklumat kepada PAC, yang bertanggungjawab untuk memastikan setiap perbelanjaan kerajaan diurus dengan baik dan sempurna

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK