KOTA KINABALU: Polis kini giat memburu tujuh lelaki warga asing yang meloloskan diri daripada Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya percaya semua suspek itu masih berada di sekitar daerah ini.
Katanya, walaupun fokus diberikan kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun polis tidak akan mengabaikan perkara itu dan terus memperhebatkan usaha memburu semua suspek yang masih bebas.
“Polis menggunakan pelbagai elemen termasuk unit anjing pengesan K9 dalam usaha mengesan semula tahanan yang masih bebas.
“Polis juga mengepung kawasan sekitar pusat tahanan berkenaan dalam usaha menjejaki baki suspek yang meloloskan diri,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Pasar Besar Kota Kinabalu pada hari pertama fasa tiga PKP, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang Ahad lalu, seramai 18 tahanan melarikan diri selepas bertindak merempuh pintu sel di pusat tahanan berkenaan dan mencederakan pegawal keselamatan yang bertugas.
Bagaimanapun, 11 daripadanya berjaya ditahan semula, manakala tujuh lagi tahanan yang dikenali sebagai Topi Topi Jul, Abdul Damsil, Rafie Sakib, Jamal Nasir, Julham Sahdul, Haikal Kadapi dan Abdillah Harun dapat meloloskan diri.
Semua suspek adalah warga Filipina berusia lingkungan 12 hingga 50 tahun dan sedang menunggu proses penghantaran pulang selepas ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Sehubungan itu, Habibi berkata, orang ramai diminta supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan tujuh suspek terbabit di balai-balai polis berdekatan./BERITA SABAH

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK