KOTA KINABALU: Sebanyak 26,460 pemeriksaan membabitkan 163 tangkapan atas pelbagai kesalahan jenayah direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pada tahun ini juga, APMM Sabah dan Labuan melakukan 246 pemeriksaan dan membabitkan 50 tangkapan.
“Pada tahun ini, APMM Sabah dan Labuan merekodkan satu tangkapan dadah yang dianggarkan bernilai RM2.55 juta yang membabitkan dua kes tangkapan dadah di Zon Maritim Tawau.
“Selain itu, tangkapan yang direkodkan APMM Sabah dan Labuan merangkumi kes-kes seperti pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan bot nelayan asing, barang kawalan, aktiviti pengeboman ikan dan kegiatan penangkapan ikan yang melanggar syarat sah lesen seperti tunda siring,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah APMM Sabah dan Labuan di di Pejabat Maritim Negeri di Wisma WB, Kolombong, di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, beliau menyaksikan serah terima tugas Pengarah APMM Sabah dan Labuan yang baharu Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah bagi menggantikan Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan yang dilantik sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia.
Mohd Zubil berkata, bagi kes mencari dan menyelamat di laut (MSAR) bagi 2019, sebanyak 44 kes direkodkan APMM Sabah dan Labuan yang membabitkan 176 mangsa dan daripada angka itu, 133 mangsa diselamatkan.
“Bagi tahun ini, APMM Sabah dan Labuan merekodkan tujuh kes dengan membabitkan 18 mangsa dan daripada jumlah itu 15 yang diselamatkan.
“Pelaksanaan Kempen Kesedaran Keselamatan di Laut yang dilakukan oleh APMM dilihat sangat membantu dalam menyedarkan masyarakat mengenai keselamatan nyawa apabila melakukan sebarang aktiviti di laut,” katanya.
Menurutnya lagi, APMM khususnya di Sabah dan Labuan tidak lari daripada berhadapan cabaran dalam memerangi jenayah rentas sempadan.
“Kerjasama antara agensi-agensi keselamatan yang lain perlu sentiasa diperkukuhkan. Ini termasuk juga cabaran dalam berhadapan ancaman keganasan seperti kegiatan penculikan, penyeludupan migran dan pengganas militan.
“Saya yakin dengan adanya pelantikan Pengarah Maritim Negeri Mohd Rosli yang baharu ini, pengalaman peribadi yang dimiliki Laksamana Pertama Maritim dapat memberi nilai tambah dalam menerajui
kepimpinan Maritim Sabah Labuan dengan lebih berkesan,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK