HANYA EMPAT KES BERITA PALSU COVID-19

KOTA KINABALU: Belum ada kes baharu berhubung penyebaran berita tidak sahih berkaitan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, sehingga kini, Sabah kekal dengan empat kes mengenai penyebaran berita palsu wabak Covid-19.

“Setakat ini tiada kes berita palsu dan masih kekal empat. Daripada jumlah itu, satu sudah dituduh di Sandakan dan tiga lagi sedang dalam tindakan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cepat membuat persepsi negatif jika berlaku kejadian seperti yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), baru-baru ini.

“Ramai yang membuat persepsi negatif bahawa lelaki yang pengsan itu disyaki dijangkit Covid-19, sebaliknya dia mengalami sakit jantung dan disahkan oleh hospital,” katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Khas Pesuruhjaya Polis Sabah di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Zaini berkata, pihaknya minta supaya orang ramai tidak cepat membuat tanggapan yang negatif hingga boleh mencetus suasana panik.

“Jangan cepat membuat tanggapan sebegitu kerana anda sendiri boleh terdedah dengan tindakan undang-undang.

“Malah perbuatan menyebarkan berita yang tidak benar itu juga boleh menjejaskan imej negeri mahupun negara,” katanya.

Sehubungan itu, Zaini menasihatkan orang ramai supaya sama-sama menjaga imej negeri ini kerana kerajaan juga amat serius menangani isu wabak Covid-19.