APMM TAHAN EMPAT LELAKI PALAUH TERLIBAT DALAM AKTIVITI MENGEBOM IKAN

Abdul Muhaimin (kanan)  menunjukkan alatan mengebom bom ikan serta ikan yang dirampas dari empat lelaki Palauh di perairan Kunak

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menyekat aktiviti mengebom ikan di perairan Kunak pagi tadi

Bot peronda APMM berjaya menahan dua buah bot pam bersama empat lelaki Palauh berumur 25 hingga 60 tahun  dan alatan mengebom ikan beserta ikan berhampiran perairan Tabawan sekitar jam 11.00 pagi, kata Pengarah APMM Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

“Kejadian berlaku semasa mereka sedang menjalankan aktiviti mengebom ikan di kawasan tersebut. Setelah mengetahui kehadiran bot APMM, bot pam tersebut bertindak melarikan diri daripada anggota APMM,” kata Abdul Muhaimin.

Anggota APMM telah mengejar bot tersebut dan berjaya diberkas di sekitar perairan paya bakau. Hasil pemeriksaan ke atas bot pam mendapati terdapat alatan mengebom ikan bersama lebih kurang setengah kilogram ikan disyaki di bom, kata beliau.

Salah sebuah bot pam yang gunakan dalam aktiviti mengebom ikan di perairan Kunak yang ditahan APMM pagi tadi

Berdasarkan rekod kes ini merupakan kes tangkapan pertama oleh APMM Lahad Datu pada tahun 2019. APMM Lahad Datu akan terus komited untuk membanteras aktiviti mengebom ikan di perairan Lahad Datu dan Kunak, tambah beliau.

Katanya lagi, bot pam bersama hasil rampasan termasuk bot, bom, ikan dan enjin pam yang dianggarkan bernilai RM 10,000 telah ditunda masuk ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Bahan Letupan 1957.

Menurut Abdul Muhaimin, APMM Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu dan Kunak. Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke APMM Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.