LAGI BOT PAM DITAHAN POLIS MARIN CUBA SELUDUP KELUAR MINYAK PETROL

Tiga lelaki warga asing ditahan bersama 55 tong berisi minyak petrol oleh PPM Tawau semalam

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU: Sebuah bot pam ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau semasa “Op Gelora Khas” kerana disyaki cuba menyeludup keluar 1,650 liter minyak petrol ke negara jiran semalam.

Komander (PPM) Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri Ali berkata, “Sebuah bot pam tiada nombor pendaftaran dipercayai sedang menuju ke negara Filipina semasa ditahan oleh pasukan PPM Tawau di perairan laut Batu 5 pada jam lebih kurang 8.15 malam.

Apabila menyedari pihak PPM menghampiri bot pam tersebut juragan bot telah terjun ke laut untuk melarikan diri. Pemeriksaan dilakukan terhadap bot pam dan mendapati 3 orang lelaki dewasa berada didalam yang mengaku sebagai penumpang dan kesemuanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, kata Mohamad Pajeri.

“Usaha untuk mengesan dan mencari juragan yang telah terjun ke laut namun tidak dijumpai kerana cuaca gelap. Pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 55 tong disyaki berisi 30 liter petrol setiap tong,” katanya lagi.

Bot pam dan penumpang ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut, tambah beliau.

Nilai rampasan  dianggarkan berjumlah RM14,800 meliputi 55 unit jerikin (30L) berisi minyak petrol, satu buah perahu dan 3 unit enjin pam. Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 22(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, kata Mohamad Pajeri.

“Siasatan juga turut dilakukan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000,” kata Mohamad Pajeri.