Salah seorang saspek yang ditahan oleh APMM Tawau pada hari Isnin
Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau berjaya menahan sebuah bot kargo dan bot penumpang (bot tempatan) masing-masing disyaki cuba menyeludup keluar barangan kawalan ke negara jiran di sekitar perairan di sini pada hari Isnin.
“Bot APMM yang menjalankan tugas rondaan telah menahan dan memeriksa bot-bot berkenaan yang disyaki menjalankan aktiviti di antara perairan Tanjung Batu ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik mulai jam 4 petang, ” kata Timbalan Pengarah Operasi APMM Tawau Komander Maritim Mohd Yusri Hussin.
“Antara yang ditahan terdiri seorang juragan lelaki penduduk tempatan dan seorang juragan warga asing. Dua lagi penumpang warga Indonesia terdiri dua orang lelaki dewasa memiliki pasport diri yang sah. Kesemua yang diperiksa berumur dalam lingkungan 23 hingga 40 tahun, tambah beliau.
Pemeriksaan lanjut mendapati juragan gagal menunjukkan dokumen atau surat kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap muatan 4.3 tan minyak masak, tepung gandum sebanyak 348 paket, 5.3 tan gula pasir dan 61 buah tong gas Liquefied Petroleum Gas (LPG) berisi, katanya lagi.
Menurut Mohd Yusri, anggaran nilai rampasan bernilai kira-kira RM40,000 itu telah dirampas dan juragan bot telah ditahan dan dibawa masuk ke jeti APMM Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tegasnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru itu, orang ramai diharapkan dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat yang lengkap kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah dilaut di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Tawau di talian 089-752115,” kata beliau.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK