Rokok yang dirampas oleh PGA Batalion 20 di RCP Sapi Nangoh, Beluran, kelmarin
Oleh Kahar Ali
SANDAKAN : Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 di sini telah berjaya menggagalkan cubaan 2 lelaki menyeludup 1,538 karton rokok pelbagai jenis di kawasan pemeriksaan daratan (RCP) Sapi Nangoh, Beluran, dekat sini petang kelmarin.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan berkata ketika kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, sepasukan 7 anggota PGA yang sedang melakukan tugas rutin telah menahan dan periksa sebuah van berwarna putih yang datang dari arah Kota Kinabalu menuju ke Sandakan dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut terhadap van berkenaan mendapati van tersebut dipenuhi oleh kotak berwarna coklat dan plastik hitam.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kotak-kotak tersebut mendapati sejumlah 1,538 karton rokok pelbagai jenis ditemui bersama dengan 66 pack/bungkus tembakau yang dianggarkan bernilai lebih RM 155,120 disyaki tanpa diisytihar cukai kastam cuba diseludup ke daerah Sandakan.
Antara rokok seludup yang dirampas termasuk 300 karton rokok premium, 240 rokok La Light, 230 karton rokok A 1 (merah), 180 karton rokok apache, 194 rokok gudang garam, 169 rokok astro merah, 80 karton rokok A 1 (hijau), 50 karton rokok astro hijau, 50 karton rokok tex light, 25 karton rokok tex menthol dan 20 karton rokok absolute.
Hazani berkata kesemua rokok seludup yang dirampas ini disyaki akan dijual dan dipasarkan di daerah Sandakan berdasarkan kepada modus operandi dan pengakuan saspek.
“Kita percaya rokok-rokok seludup ini akan dijual dan dipasarkan di sekitar daerah Sandakan dan kawasan berhampiran”.
“Kedua-dua saspek yang mana seorang daripadanya adalah warga indonesia berumur dalam lingkungan 26-30 tahun ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967”.
“Turut dirampas sebuah van putih jenis toyota hiace yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan berkenaan”, katanya.
Beliau berkata saspek bersama barang-barang rampasan telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah Beluran untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Hazani berkata ESSCOM akan sentiasa mengiatkan usaha untuk melumpuhkan aktiviti-aktiviti penyeludupan melalui operasi-operasi khas di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti bagi mengekang dan membanteras aktiviti penyeludupan dan aktiviti pemerdagangan manusia termasuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK