ASYIK CARI LOKAN SEHINGGA SESAT

TUARAN: Enam sekeluarga termasuk pasangan suami isteri yang asyik mencari lokan di kawasan paya dengan alasan mengisi perut hampir menjadi mimpi ngeri apabila mereka dilaporkan sesat dalam kejadian di Jalan Kayu Madang, di sini, hari ini.

Semua mangsa iaitu lima lelaki dan seorang wanita berusia 16 hingga 59 tahun ditemui oleh anggota penyelamat kira-kira jam 9 pagi tadi.

Operasi menyelamat dilakukan oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Hamizi Halim berkata, semua mangsa dikatakan keluar mencari lokan di kawasan paya berkenaan sejak malam Rabu sebelum dilaporkan tersesat.

“Dalam tempoh dua jam, kita berjaya mengesan dan menyelamatkan keenam-enam mangsa terbabit.

“Semua mereka kemudian dibawa ke Dewan Kampung Bukit Payung dan terima rawatan awal daripada pasukan perubatan pihak bomba, “katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, mangsa-mangsa yang terselamat juga akan disiasat sekiranya terdapat unsur ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Siasatan akan jalankan mengikut Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit.

“Kita lihat kenyataan mereka nanti bila dibawa ke balai polis dan kita akan majukan siasatan kepada pihak peguam negara,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan 3(1) Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit./BERITA SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *