BANJIR : SEKURANG-KURANGNYA ENAM KAMPUNG DI PANTAI BARAT TERJEJAS

PENAMPANG: Sekurang-kurangnya enam kampung terjejas akibat banjir selepas hujan lebat melanda kebanyakan kawasan pantai barat negeri ini, sejak semalam.

Enam kampung berkenaan ialah Kampung Dabak, Kampun Tuavon, Kampung Kambau, pusat daerah penampang, Kampung Kambazan Kolopis dan Kampung Putaton Inobong.

Selain itu, tinjauan mendapati beberapa kawasan di Kampung Ramayah Putatan turut ditenggelami air sehingga hampir 1.5 meter.

Salah seorang penduduk terjejas, Salmah Omar, 56, berkata, rumahnya mula ditenggelami air sejak jam 9 malam tadi.

Bagaimanapun katanya, setakat pagi hari ini, keadaan air masih belum surut sehingga menyebabkan dia beberapa ahli keluarganya terpaksa berlindung ditingkat atas rumah.

“Air mulai naik secara berperingkat sejak jam 9 malam tadi dan kami terpaksa memindahkan barang ke tingkat atas selepas hujan lebat tidak berhenti sehingga pagi.

“Memang di sini sudah biasa banjir, tapi saya tidak minta dihantar tempat perpindahan sebab tempat kerja saya jauh,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang peniaga restoran, Ewon Mojilis, 40, berkata, sejak awal pagi tadi restorannya yang terletak di pekan Donggongon sudah dinaiki air sehingga paras dua meter.

Katanya, dia sudah menjangkakan air naik kerana hujan lebat sejak semalam hanya berhenti kira-kira jam 7 pagi tadi.

“Setiap kali hujan lebat kawasan ini sentiasa dinaiki air. Ia perkara biasa kerana saya sudah berniaga di kawasan ini sejak empat tahun lalu.

“Semua barang keperluan di restoran ini yang mudah dihanyutkan sudah disimpan ditempat tinggi sejak semalam. Cuma kerusi dan meja dibiarkan diletakkan di luar restoran,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, sungguhpun terpaksa berhempas pulas membersihkan barang-barang keperluan namun ia tidak melibatkan kerugian harta benda.

Katanya, kebiasaannya mereka terpaksa mengambil masa sehingga dua hari untuk membersihkan kedai dan kawasan di sekelilingnya sebelum beroperasi semula.

“Oleh itu, saya berharap cuaca hari baik agar keadaan disini pulih dengan cepat,katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang melaporkan sebanyak enam kampung di Penampang dilanda banjir iaitu Tuavon, Dabak, Kambau, Penampang Proper, Kambazan Kolopis dan Putaton Inobong.

Beberapa jalan turut tenggelam dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan iaitu Jalan Kiranau Inobong, Jalan Kolopis, Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kibabaig dan Jalan Kivatu Kasigui.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *