PENGHUNI RUMAH TERJEJAS BANJIR DIARAH PINDAH DEMI KESELAMATAN

PENAMPANG: Penghuni rumah yang terjejas akibat banjir diarahkan supaya berpindah bagi mengelakkan risiko mengancam keselamatan mereka.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya menjaga ahli keluarga masing-masing termasuk anak kecil bagi mengelakkan kemalangan tidak diingini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, apabila pihak berkuasa atau polis menasihati supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara, orang ramai diminta akur untuk menuruti arahan.

Katanya, mereka yang terjejas tidak perlu risau kerana pasukan polis akan terus memantau dari semasa ke semasa untuk memastikan harta benda yang ditinggalkan selamat.

“Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim sudah menguruskan pengangkutan seperti bot dan kereta bersesuaian untuk pengangkutan mereka yang terjejas.

“Sekiranya polis arahkan pindah, maka segeralah ikut arahan untuk berpindah. Banjir bukan pesta air,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan banjir di Penampang, hari ini.

Zaini berkata, setakat ini, mengikut maklumat hanya empat daerah yang terjejas akibat banjir iaitu Tuaran, Kota Belud, Penampang dan Papar.

Katanya, mengikut rekod yang diterima polis, setakat ini seramai 151 individu terjejas akibat banjir sejak semalam namun sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Zaini memberitahu bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terjejas adalah IPD Penampang dan Balai Polis Tamparuli.

Katanya, semua peralatan termasuk dokumen penting sudah diambil tindakan sewajarnya termasuk pemindahan ke tempat selamat.

“IPD Penampang ditelenggelami air sehingga kira-kira 1.5 meter manakala Balai Polis Tamparuli terjejas selepas hujan lebat mengakibatkan beberapa tiang tumbang.

“Selain itu, Ketua Polis Daerah yang berkaitan juga sudah mengambil tindakan perlu termasuk penutupan beberapa jalan untuk tujuan keselamatan,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *