BANTUAN UNTUK PELAJAR SABAH DI SEMENANJUNG

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memberikan bantuan keperluan asas dan makanan kepada semua pelajar yang berasal dari negeri ini di seluruh Semenanjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata bantuan berkenaan akan disalurkan menerusi Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Bantuan ini bertujuan membantu pelajar Sabah yang berada di asrama, di semua institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak berkesempatan pulang ke negeri ini, sepanjang tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerajaan negeri akan bantu menyediakan pelbagai kemudahan yang ada supaya pelajar boleh mengurangkan pergerakan kerana kita faham tempoh kawalan ini agak pendek sekiranya mereka mahu pulang ke negeri ini selain melihat faktor kewangan golongan pelajar.

“Oleh itu, saya sudah meminta Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah berkomunikasi dengan menteri KPT peringkat pusat mengenai semua universiti yang membolehkan pelajar Sabah tetap berada di dalam kampus untuk memudahkan kita menyalurkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.

Sementara itu, Shafie berkata sebahagian pelajar Sabah di Semenanjung yang tiada tempat tinggal kini ditempatkan di Rumah Sabah hingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai isu beliau tidak jemput menghadiri Mesyuarat Khas Covid-19 yang turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, Mohd Shafie berkata beliau tidak mahu melihat perkara itu diperbesar dan dipolitikkan.

“Saya mahu kita fokus untuk menangani penularan wabak Covid-19 kerana perkara itu lebih penting demi masyarakat di negeri ini,” katanya./BERITA SABAH