BERNAMA.com – Kerajaan Negeri tiada kuasa keluarkan kad pengenalan

[ad_1]

KOTA KINABALU, 16 April (Bernama) — Kerajaan negeri tiada kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan sebaliknya ia dikendalikan oleh agensi di bawah kerajaan persekutuan.

Justeru, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri Sabah mengeluarkan kad pengenalan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Kita (Kerajaan Negeri Sabah) tidak mengeluarkan kad pengenalan dan dakwaan kita memberikan kad pengenalan kepada PATI adalah tidak benar,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) yang ingin tahu perkembangan kawalan keselamatan di negeri ini.

Mohd Shafie yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang berkata kerajaan negeri tegas dalam menangani kehadiran PATI di negeri ini termasuklah menghantar balik ke negara asal bagi PATI yang ditangkap oleh pasukan keselamatan.

Menurutnya mana-mana warganegara asing yang ditangkap kerana tiada dokumen pengenalan diri harus dihantar balik dan tidak ditahan untuk tempoh lama di Rumah Merah (Pusat Tahanan Sementara).

Katanya tindakan penghantaran balik PATI ke negara asal itu diteruskan biarpun kerajaan membelanjakan kos yang tinggi dalam membendung masalah PATI di negeri ini.

Beliau berkata bagi warganegara Filipina dan Indonesia yang diperlukan sebagai tenaga kerja untuk keperluan di bidang pertanian dan pembinaan di negeri ini, mereka akan diberi permit kerja yang sah.

Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Jeffrey G. Kitingan (STAR-Tambunan) mengenai kedudukan keselamatan Sabah susulan penangkapan 12 warga asing dan seorang rakyat tempatan disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas, Mohd Shafie berkata kedudukan dan situasi keselamatan negeri ini masih dalam keadaan terkawal.

Katanya pihak keselamatan sentiasa berusaha melakukan operasi secara berterusan ke atas elemen-elemen militan.

Beliau berkata isu keselamatan di negeri ini turut dipengaruhi situasi keselamatan di selatan Filipina di mana pergolakan di negara berkenaan turut menberi impak melalui kemasukan penduduk dari negara tersebut.

Namun, katanya, Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sentiasa melakukan operasi untuk menghalang kemasukan militan secara agresif.

Menurutnya di samping itu, pertukaran maklumat sentiasa dibuat, selain rondaan keselamatan secara bersama di sempadan perairan negara dengan Filipina dan Indonesia.

— BERNAMA

[ad_2]