BERNAMA.com – Malaysia-Singapura harus ada tiga hingga empat jambatan

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia dan Singapura memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jambatan untuk memudahkan aliran trafik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata berbanding Pulau Pinang yang kini merancang untuk membina jambatan ketiga mereka ke tanah besar dalam bentuk terowong, aliran trafik di Singapura jauh lebih besar.

“Walaupun Pulau Pinang yang kurang penduduknya daripada Singapura pada mulanya menolak jambatan pertama, tetapi kemudiannya kita membina jambatan lain dan sekarang kita mahukan satu lagi terowong dan itu (hanya) Pulau Pinang dan tanah besar.

“Trafik Singapura jauh lebih besar daripada Pulau Pinang, kita hanya mempunyai satu jejambat dan jambatan, kita memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jambatan,” katanya semasa sesi soal jawab di Invest Malaysia 2019, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata republik itu bagaimanapun tidak mahu lagi jambatan untuk alasan tertentu yang beliau sendiri tidak faham.

Mengenai perjanjian air, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa kedua-dua negara tidak akan berperang.

“Kami orang baik…kami akan cuba berunding seperti orang beradab,” katanya.

Mengenai perkara berasingan, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya bahawa Laut China Selatan yang dipertikaikan harus tetap terbuka untuk semua kapal bahkan kapal perang untuk belayar melaluinya.

Beliau menegaskan bahawa kebebasan itu bagaimanapun tidak sepatutnya membenarkan mana-mana kapal perang untuk berlabuh secara tetap di mana-mana bahagian perairan itu kerana ia akan menimbulkan provokatif kepada negara-negara sekitar.

“Itu bukan apa yang kita mahu lihat di Laut China Selatan,” katanya.

— BERNAMA



[ad_2]