BERNAMA.com – Perang perdagangan AS-China beri manfaat kepada projek Selangor Bio Bay

[ad_1]

PELABUHAN KLANG, 12 Mac (Bernama) — Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat ketika ini akan memberi manfaat kepada Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) dari segi menarik pelaburan untuk projek Selangor Bio Bay (SBB), satu daripada pembangunan perdana syarikat itu.

Exco pelaburan Selangor Datuk Teng Chang Kim, berkata beliau jangka lebih banyak pengusaha industri daripada sektor bioteknologi di China, India dan benua Eropah melabur di SBB disebabkan oleh pertikaian perdagangan itu.

“Kami menyaksikan kemasukan banyak pengusaha pembuatan yang datang ke Malaysia disebabkan oleh perang perdagangan ini.

“Kami berharap untuk membantu lebih banyak pengusaha dalam industri bioteknologi datang ke Pulau Indah dan melabur di SBB,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran logo korporat CSSB yang baharu bertema “The New Chapter” di SBB di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CSSB Mohamad Razif Abdul Wahab.

Teng berkata SBB disasarkan untuk menjadi hab bioteknologi Selangor, dibina sebagai infrastruktur mesra ekologi dan berteknologi tinggi yang memenuhi keperluan perindustrian, komersial dan kediaman.

Sementara itu, Mohamad Razif dalam ucapannya berkata tahun ini CSSB menyambut ulang tahun ke-25, yang bermula dengan pasukan tiga anggota di Kompleks PKNS Shah Alam pada 1994 dan terus berkembang maju apabila berpindah ke ibu pejabatnya di Pulau Indah lima tahun kemudiannya. Kumpulan itu, termasuk anak syarikatnya, kini mempunyai 94 tenaga kerja.

CSSB ialah anggota cabang pelaburan negeri Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Bhd.

— BERNAMA



[ad_2]