Seorang pengundi yang keluar mengundi di Alor Gajah didapati positif selepas dia selesai melaksanakan proses itu hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr Rusdi Abd Rahman dalam kenyataan dikeluarkan petang ini.
Katanya, hal itu diketahui menerusi notifikasi yang diterima Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah daripada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Melekek.
“Terdapat seorang kes positif Covid-19 yang telah keluar mengundi di salah sebuah pusat mengundi di daerah Alor Gajah.
“Keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah dia selesai proses mengundi. Pesakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala pada waktu mengundi.
“Sehubungan itu, pihak PKD Alor Gajah telah mengambil tindakan segera iaitu mengarahkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di pusat mengundi terlibat untuk menutup sementara kawasan berisiko, termasuk saluran mengundi, untuk proses disinfeksi menyeluruh,” katanya.
Proses disinfeksi itu, katanya, dijalankan dengan kerjasama bomba.
Rusdi berkata SPR membuka bilik baru sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baru, manakala pasukan pemantauan PKD Alor Gajah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur.
“Jabatan memandang serius perkara yang berlaku ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci.
“Semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan PKD Alor Gajah,” katanya lagi.
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan