BOT KARAM : ANGGOTA PGA DITEMUI

SANDAKAN: Mayat Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Asman Ongkal, 40, ditemui nelayan di perairan berhampiran Tanjung Papat, pada jam 6.20 petang tadi.

Mayat mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas membantu menyelamatkan mangsa bot karam yang lain dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki, berkata mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian.

“Jenazah mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kelmarin, Asman dilaporkan menaiki bot bersama 36 yang lain termasuk 28 pelajar, dari Pulau Tanjung Aru untuk ke jeti Pasar Umum, sebelum bot dinaiki terlanggar kapal yang sedang menunda sebuah bot kecil.