BOT NELAYAN LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati beroperasi dengan melanggar syarat sah lesen, semalam.

Dalam operasi Op Naga Timur, jam 7.15 malam itu, bot nelayan berkenaan ditahan di kedudukan 4.4 batu nautika barat laut Tanjung Belijung, Pulau Sepanggar, di sini.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, bot nelayan itu dikesan selepas pihaknya menerima maklumat menerusi Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) berhubung kehadiran sebuah bot yang mencurigakan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi berkenaan, bot nelayan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam kedudukan kurang enam batu nautika dari pesisir pantai.

“Pasukan APMM kemudiannya menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan dan mendapati bot dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 46 tahun bersama enam awak-awak lelaki warganegara Indonesia, berusia 24 hingga 30 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menunda pukat tunda kurang enam batu nautika dari pesisir pantai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Rosli berkata, bot nelayan dan tekong serta awak-awak kemudiannya ditahan dan diiring balik ke Jeti Maritim Sepanggar untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mohd Rosli menyatakan APMM akan terus memperkasakan penguatkuasaan dan rondaan di seluruh perairan Sabah dan Labuan di musim perayaan ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang laut.

Selain itu katanya, ia juga bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah sekali gus mencegah penularan wabak Covid-19.

“Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Labuan yang beroperasi 24 jam sedia menerima sebarang aduan ataupun laporan mengenai kejadian di laut.

“Sehubungan itu, Maritim Malaysia juga mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk menyalurkan sebarang laporan berkenaan aktiviti jenayah di laut melalui talian PUSOP 088-270185 dan MERS 999,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *