PUTRAJAYA: Hakim diingatkan menulis penghakiman berdasarkan undang-undang dan bukan pada tanggapan mahu mencari populariti, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau berkata, hakim mesti mengelak daripada menulis penghakiman semata-mata untuk mendapatkan pengesahan daripada orang ramai atau daripada mana-mana pihak lain.
“Jika hakim memutuskan sesuatu perkara berdasarkan perkara selain daripada undang-undang dan fakta, maka dia membuat keputusan yang tidak betul di sisi undang-undang.
“(Dalam kes sedemikian), hakim gagal menegakkan kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang,” katanya pada pembukaan tahun undang-undang di sini hari ini.
Tengku Maimun berkata, hakim mesti mengiktiraf hak perlembagaan setiap rakyat untuk mengkritik badan kehakiman dan menguji ketepatan penghakimannya melalui proses yang wajar.
“Sememangnya hakim harus sedar mengenai pendapat umum, tetapi mereka tidak terikat dengannya,” katanya.
Beliau berkata, perhatian yang baik dan komen membina terhadap badan kehakiman sentiasa dialu-alukan kerana mereka membantu hakim untuk merenung kembali kerja yang dilakukan mereka.
“Kritikan ini tidak seharusnya mengakibatkan ketidakharmonian antara badan kehakiman dan ahli-ahli Badan Peguam, mana-mana pakatan politik atau orang awam,” katanya.
Komen sebegitu, katanya, tidak mempunyai nilai untuk memajukan kedaulatan undang-undang dan tidak membantu hakim bersatu dalam menegakkan kebebasan kehakiman.
Tengku Maimun berkata hanya dengan ketelusan dalam prosidingnya, badan kehakiman akan dapat memperoleh dan mengekalkan kepercayaan awam dalam jangka panjang.
“Pada pendapat saya, komponen utama ketelusan ialah kebolehcapaian,” katanya mengenai kepentingan membenarkan orang ramai mengakses alasan penghakiman yang ditulis oleh hakim.
Beliau berharap kemudahan akses sedemikian akan diterjemahkan kepada pemahaman yang lebih baik oleh orang ramai tentang fungsi kehakiman.
Tengku Maimun juga menggesa orang ramai membaca penghakiman secara menyeluruh sebelum membuat pendapat dan menjatuhkan badan kehakiman kepada sebarang bentuk fitnah.
More Stories
Memandu berbahaya hingga menyebabkan kematian, pemandu lori dipenjara lima tahun, denda RM20,000
Muhyiddin dijangka didakwa esok
Mahkamah tolak permohonan Zahid pasport dikembalikan secara kekal