MADIUS: UPKO SOKONG SHAFIE CALON PM

TAMPARULI: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, yang menyokong cadangan untuk mencalonkan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Malaysia, mengesyorkan supaya Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak bersetuju dengan perkara tersebut.

“UPKO konsisten sejak tampuk pemerintahan negara berubah selepas pilihanraya umum pada 2018. Kami menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir (Mohamad) sebagai Perdana Menteri.

“Selepas perubahan Perdana Menteri pada Mac lalu, UPKO kekal dengan pendirian untuk terus menyokong Tun Mahathir. Yang terkini, beliau mencadangkan teman seperjuangan saya, Datuk Seri Shafie sebagai calon Perdana Menteri; UPKO sokong cadangan ini,” kata Madius.

“Penuh rendah hati, saya juga memohon agar semua Ahli Dewan Rakyat (ADR) daripada Sabah dan Sarawak menyokong cadangan itu. Seandainya kita betul-betul percaya bahawa Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah rakan kongsi yang sama taraf dalam Malaysia, tidak ada alasan bagi kita untuk menolak cadangan itu,” tambah beliau selaku Presiden United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO) dan juga ADR Tuaran.

“Memang betul, UPKO tidak diberitahu lebih awal mengenai perbincangan itu mungkin kerana seperti kata Tun Mahathir, ia dibuat secara tidak formal. Apa pun, UPKO tidak ada halangan menyokong Datuk Seri Shafie,” kata Madius yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas cadangan Tun Mahathir mencalonkan Shafie, Ketua Menteri Sabah dan Presiden Parti Warisan Sabah sebagai Perdana Menteri Malaysia seandainya Pakatan Harapan kembali menerajui negara.
Madius berharap pelbagai perkara seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan tertunai apabila Perdana Menteri daridapa Sabah dilantik.

“UPKO berharap hal-hal tertunggak seperti royalti minyak, masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin, peningkatan pelaburan ke Sabah, penyediaan infrastruktur yang mencukupi dan banyak lagi hal lain akan ditangani supaya Sabah akan terus progresif,” tambah Madius.-http://beritasabah.com