PEKERJA LADANG MAUT DIBELASAH

BELURAN: Seorang pekerja ladang kelapa sawit maut akibat dibelasah tiga lelaki dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Ladang Muncul Maju, Sugut, di sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Fazle Mide, 25, dipercayai berasal dari Tawau.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendent Kasim Muda, berkata menurut keterangan saksi, suspek yang semua adalah warga tempatan dilihat datang ke rumah mangsa, sebelum mangsa yang sedang tidur ditendang bertubi-tubi sehingga mangsa tidak berdaya untuk melawan.

“Saksi telah merayu kepada suspek agar melepaskan mangsa, sebelum suspek meninggalkan mangsa. Ketika itu, mangsa dikatakan tidak lagi bermaya dan saksi cuba menenangkan mangsa.

“Suspek juga dipercayai mabuk dan membawa ‘bakakuk’, namun tidak digunakan ketika kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Kasim berkata, semua suspek yang berusia 17 hingga 50 tahun berjaya ditahan keesokan harinya dan senjata yang dibawa suspek juga dirampas di Kampung Timbulus, Sugut, dekat sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Kasim berkata, polis membuka tiga kertas siasatan pada Sabtu lalu yang berkait dengan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan 10 tangkapan berusia antara 14 hungga 56 tahun.

Ia membabitkan lapan orang berusia 14 hingga 33 tahun yang ditahan kerana bermain sepak takraw di Kampung Melapi, Telupid, manakala dua lagi tangkapan kerana berada di tempat awam tanpa sebarang sebab munasabah masing-masing di Kampung Ulu Sapi, Beluran dan Batu 4, Telupid.

Tiga kertas siasatan ini disiasat di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan, 269 Kanun Keseksaan, 22(b) Akta 324 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020./BERITA SABAH