COVID-19: Penurunan sebanyak 586 kes baharu di sabah hari ini

KOTA KINABALU, 4 Mac — Sabah mencatatkan sebanyak 2,131 kes baharu COVID-19 hari ini iaitu penyusutan sebanyak 586 kes berbanding semalam (2,717).

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, hampir seluruh daerah di negeri Sabah mencatatkan trend penurunan kecuali di Tambunan (+45), Penampang (+15) dan Papar (+2), yang mencatatkan peningkatan kes.

Dalam pada itu, daerah yang mencatatkan kes baharu tertinggi ialah Kota Kinabalu sebanyak 677 kes, diikuti oleh Penampang (199), Tuaran (145), Papar (12) dan Kota Belud (100).

Dikatakan, sebanyak 2,118 kes (99.39%) daripada keseluruhan kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, masing-masing enam kes dalam Kategori 3 dan Kategori 4, manakala satu kes dalam Kategori 5.

Sementara itu, seramai 231 kes hari ini melibatkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum divaksin, ,dan 129 daripadanya merupakan kanak-kanak yang belum layak vaksin (bawah umur 5 tahun).

Setakat ini, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak telah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 55,540 kanak-kanak daripada 411,400 kanak-kanak berumur 5-11 tahun yang layak divaksin.