COVID-19: Sabah merekodkan 1176 kes jangkitan baharu semalam

KOTA KINABALU, 12 MAC : Sabah mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 22 kes jangkitan baharu dan menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 1,176, semalam.

Mengikut infografik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Kota Kinabalu kekal melaporkan kes tertinggi dengan jumlah 356 kes, diikuti dengan Penampang (139) dan Papar (105).

Dalam pada itu, sebanyak 467 buah premis telah diperiksa dan 8 keping kompaun telah dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Dalam bilangan tersebut, 8 keping kompaun itu telah dikeluarkan di daerah Tawau menjadikan jumlah kumulatif kompaun terkini adalah 10,772 keping.

Kesalahan yang telah dikompaun adalah gagal menggunakan aplikasi MySejahtera, berada di premis melebihi masa yang dibenarkan dan melakukan aktiviti terlarang seperti membuka pusat hiburan.