KOTA KINABALU: Kegiatan empat lelaki dikenali sebagai Geng Betto yang aktif mencuri bateri pencawang syarikat telekomunikasi di sekitar daerah ini, akhirnya tumpas apabila mereka ditahan dalam empat serbuan berasingan bermula Ahad hingga semalam.
Semua suspek termasuk ketua kumpulan mereka dikenali sebagai Bobby ditahan selepas serbuan polis menemui sebanyak 56 bateri pencawang dianggarkan bernilai RM42,000.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Manjinji berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya menahan suspek pertama di sebuah rumah di Telipok Ria, Tuaran, Ahad lalu.
Menurutnya, hasil daripada tangkapan pertama, seorang lagi lelaki warga tempatan berjaya ditahan dan merampas 16 lagi bateri pencawang telekomunikasi di rumahnya.
“Susulan daripada soal siasat yang dijalankan, dua lagi individu berjaya ditahan sebelum membawa kepada penemuan baki keseluruhan bateri pencawang yang dilaporkan hilang.
“Semua individu yang ditahan berusia 25 hingga 36 tahun dan empat kenderaan termasuk dua pacuan empat roda serta sebuah kereta sedan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan disita.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk tiga buah kenderaan itu bernilai RM125,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, polis percaya kumpulan penjenayah ini mengambil kesempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan untuk menjalankan kegiatan mereka selain kebanyakan pencawang terletak di kawasan terpencil.
“Siasatan mendapati Bobby ini mempunyai pengalaman kerana pernah bekerja sebagai juruteknik pencawang telekomunikasi di Rawang, Selangor tahun lalu dan menyebabkan setiap kali mencuri sukar dikesan kerana setiap alat penggera dimatikan sebelum bateri-bateri dibuka dan dicuri.
“Modus operandi geng Betto ini dengan cara memotong penyangkut kunci mangga pada pintu pagar stesen dan seterusnya mengambil bateri dalam peti stesen.
“Bateri pencawang yang dicuri akan dijual ke kilang besi buruk dengan harga RM2.50 sekilogram,” katanya.
Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek-suspek ini, polis percaya dapat menyelesaikan empat kes curi bateri pencawang syarikat telekomunikasi yang berlaku di sekitar daerah ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan semua suspek direman selama lima hari,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK