KOTA KINABALU: Mengambil kesempatan dalam kesempitan, itulah yang dilakukan seorang lelaki di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila memecah masuk restoran makanan segera di Plaza Juta, Likas, di sini, sebelum melarikan beberapa barang bernilai RM14,581.80.
Bagaimanapun perbuatan suspek 21 tahun menerima padah apabila dia ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sebuah rumah di Kampung Bakau, Likas, jam 7.30 pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu disedari oleh pengurus restoran berkenaan selepas mendapati pintu kaca bahagian hadapan restosan pecah, pada 2 April lalu.
“Pemeriksaan lanjut oleh pengadu mendapati ada beberapa aset restoran hilang dipercayai dicuri antaranya televisyen, telefon, dua mesin juruwang dan sebuah motosikal milik syarikat berkenaan.
“Anggaran kos kerugian bernilai RM14,581.80. Satu laporan dibuat oleh pengadu mengenai kejadian itu,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.
Habibi berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menjejaki suspek sebelum menahannya di sebuah rumah di Kampung Bakau, Likas, Ahad lalu.
“Hasil soal siasat suspek membawa rampasan semula barangan yang dicuri antaranya motosikal, televisyen dan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri.
“Modus operandi suspek dengan memecahkan pintu dan dinding kaca lalu masuk ke dalam premis sebelum mencuri beberapa barang,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai jenayah lampau terbabit jenayah narkotik dan jenayah pencerobohan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A / Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK