Dakwaan skandal rasuah: SPRM dipercayai sudah panggil ADUN Sabah

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai memanggil beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, hari ini.

 

Menurut sumber, tindakan itu ada kaitan dengan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video yang disebarkan di sebuah portal berita.

 

Mereka dipercayai dipanggil SPRM di Sabah, namun belum ada pengesahan atau kenyataan daripada agensi penguatkuasa itu atau ADUN yang berkenaan.

 

Sehingga kini, satu klip audio dan tiga klip video memaparkan perbualan ADUN Sabah dengan individu yang dipercayai bertanggungjawab merakam klip terbabit tersebar di portal berkenaan.

 

Empat ADUN terbabit ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Rubin Balang (Kemabong), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat).

 

Dr Yusof, Rubin dan Mohd Arsad sudah memberi penjelasan berhubung klip video itu, termasuk menafikan menerima rasuah berhubung rundingan projek yang dikaitkan dengan perlombongan mineral.

 

Bagaimanapun, Shahelmey enggan memberi komen ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

 

Beliau berkata akan membuat kenyataan media berhubung penyebaran rakaman video terbabit, namun setakat hari ini, belum ada sebarang kenyataan dikongsikan kepada media.

 

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya lapan klip video daripada pemberi maklumat yang memaparkan sedutan perbualan dengan ADUN Sabah akan disebarkan. – Info X