DITAHAN MILIKI SENAPANG BUATAN SENDIRI

PAPAR: Seorang lelaki ditahan selepas polis menemui selaras senjata api buatan sendiri dipercayai miliknya dalam sebuah rumah di Kampung Langsat, di sini, semalam.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan polis dari pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, anggota polis menemui selaras senapang buatan sendiri yang disembunyikan di sebuah bilik rumah berkenaan.

“Susulan itu, polis menahan suspek dan merampas laras senapang berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Batholomew berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada orang ramai agar tidak membuat senjata api sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa dan sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api 1960.