ARAK, ROKOK BERNILAI RM500,000 DIRAMPAS

TELUPID: Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran menahan tiga lelaki termasuk seorang pemilik premis susulan rampasan lebih RM500,000 rokok seludup dan arak di Kampung Gambaron, di sini, petang semalam.

Mereka ditahan dalam serbuan oleh sepasukan Tiger Platoon diketuai Inspektor Mohd Nazrin Shah Zulhakim pada jam 5.30 petang.

Rampasan membabitkan lebih 1,600 bungkus bernilai RM313, 427, manakala pelbagai jenis minuman keras bernilai RM249,850.

Pegawai Pemerintah BN 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata ketika serbuan, dua lelaki dikatakan sedang memunggah beberapa kotak mengandungi rokok dan minuman keras.

Jelasnya, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM3, 491 dipercayai hasil jualan dan pemilik premis juga mengaku menjual rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai.

“Tiga lelaki yang ditahan adalah pemilik premis berusia 60 tahun dan dua lagi lelaki masing-masing warga Indonesia dan Filipina.

“Turut dirampas adalah sebuah lori. Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.