Dr Mahathir terima kunjungan hormat Sheikha Moza

[ad_1]

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) — Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Yayasan Qatar bagi Pembangunan Pendidikan, Sains dan Komuniti (QF) dan Pendidikan Yang Penting (EAA), Yang Teramat Mulia Sheikha Moza Nasser di pejabatnya di Perdana Putra di sini.

Kunjungan itu berlangsung selama 45 minit.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Duta Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Yousef Kafoud.

Sheikha Moza, yang juga permaisuri kepada Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, bekas Emir bagi Qatar, tiba di Malaysia pada Ahad bagi lawatan khas empat hari ke Malaysia sehingga 1 Mei.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Ahad menyebut bahawa lawatan itu akan menyediakan peluang kepada kedua-dua pihak untuk berbincang lanjut pelbagai isu bagi kepentingan bersama terutama yang berhubung dalam pendidikan, kesihatan, memperkasa wanita, belia dan pembangunan komuniti.

EAA yang diasaskan pada 2012 oleh Sheikha Moza bertujuan untuk membina sebuah pergerakan global yang akan menyumbang kepada pembangunan kemanusiaan, sosial dan ekonomi menerusi peruntukan pendidikan berkualiti, manakala QF adalah pertubuhan yang bukan mengaut keuntungan yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan, penyelidikan dan komuniti sejak 1995.

— BERNAMA

[ad_2]