SPR pamer rang daftar pemilih suku pertama tahun 2019 hari ini

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima 26,136 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak bagi tempoh suku tahun pertama tahun 2019 (ST1/2019).

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata dalam tempoh itu, pihaknya menerima 11,655 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

“Selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST1/2019 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 30 April (hari ini) hingga 13 Mei 2019 di 963 tempat pameran di seluruh negara.

“Pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Jan 2019 hingga 31 Mac 2019 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT ST1/2019.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam Rang DPT ST1/2019, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang mahu membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT ST1/2019 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

“Tuntutan atau bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran Rang DPT itu diadakan.

“Semasa tempoh Pameran Rang DPT ST1/2019, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih,” katanya.

Katanya, antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada daftar pemilih kerana mereka ini telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) PeraturanPeraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

SPR juga, katanya, bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengemas kini maklumat lokaliti pengundian bagi pegawai dan anggota polis dan tentera yang telah tamat perkhidmatan dari lokaliti polis dan tentera ke lokaliti awam dengan mengekalkan bahagian Pilihan Raya (Parlimen dan DUN) masing-masing.

“Tindakan pengemaskinian ini adalah bagi memastikan mereka akan mengundi sebagai pengundi biasa dan bukan lagi sebagai pengundi awal kerana mereka telah menamatkan perkhidmatan polis atau tentera.

“Jumlah yang terlibat ialah seramai 1,483 orang yang terdiri daripada 46 orang pesara tentera, 190 orang pasangan pesara tentera, 928 pesara polis dan 319 orang pasangan pesara Polis PGA (Pasukan Gerakan Am). Semua nama pesara tentera dan polis serta pasangan ini juga dipamerkan semasa Pameran Rang DPT kali ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, SPR meminta semua pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Jan 2019 hingga 31 Mac 2019 supaya membuat semakan nama mereka di tempat tempat yang diwartakan.

“Sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT ST1/2019 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-8892 7018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Pemohon juga boleh melayari portal SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar MySPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT ST1/2019,” katanya.

— BERNAMA

[ad_2]