Dua lelaki ditahan memiliki 200 kotak minuman keras

Oleh: Libona

BELURAN: Dua lelaki ditahan kerana memiliki lebih daripada 200 kotak minuman keras tidak bercukai di Jalan Nangoh-Paitan, di sini, kelmarin.

Suspek ditahan menerusi operasi pemantauan Op Khas Tiger Platoon, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran sekitar jam 4.50 petang.

Menurut Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias, minuman keras jenama Netherlands Huster light Ice Beer itu dipercayai diseludup masuk menggunakan sebuah van.

Katanya, semua minuman yang dirampas itu berjumlah RM58,278 selepas cukai manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan van dianggarkan bernilai RM138,278 berdasarkan harga pasaran semasa.

Menurut Abdul Rani, kedua-dua suspek ditahan berumur 31 tahun dan berasal dari daerah Keningau.

Sehubungan itu, kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.