DUA SASPEK KES BUNUH DITAHAN POLIS

Polis sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian hari Isnin.

Oleh Kahar Ali

SANDAKAN : Dua lelaki warganegara asing ditahan  bersabit kes bunuh seorang lelaki berumur 38 tahun di sebuah kebun sawit di Batu 10 dekat sini tengahari Isnin.

Mangsa ditemui mati dengan kesan tetakan di seluruh badan di rumah tersebut, kata Ketua Polis Daerah ACP Mohd Azhar Hamin. 

Mangsa yang tinggal berseorangan di rumahnya,  ditemui mati oleh majikannya pada pagi hari yang sama dan terus menghubungi pihak polis, kata Mohd Azhar.

Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan menggunakan senjata tajam, tambah beliau. 

Sepasukan polis telah menahan kedua-dua saspek di sebuah rumah berhampiran  dengan rumah mangsa serta   merampas sebilah senjata tajam yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa, katanya lagi.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” kata Mohd Azhar.

Kedua-dua saspek berumur 27 dan 50 tahun kini ditahan reman untuk siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, kata Mohd Azhar.