KEDAI RUNCIT BERNIAGA ‘JUDI ONLINE’ DIKENALPASTI

KOTA KINABALU: Taktik beberapa peniaga yang menjalankan aktiviti menjual prabayar judi dalam talian dengan berselindung disebalik perniagaan kedai runcit terbongkar apabila berjaya dikesan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Semua lapan premis ini dipercayai ‘berdegil‘ menjalankan operasi untuk mengaut keuntungan dengan mengambil kesempatan mengisi masa lapang pemain judi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata, semua premis berkenaan terus diarahkan tutup dan sudah dirujuk kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, lapan premis yang dikesan membabitkan lima di sekitar Inanam dan masing-masing satu di Plaza Juta, Likas, Kingfisher dan Tanjung Aru serta di Telipok.

“Hasil rondaan DBKK hari ini mendapati beberapa premis menjual prabayar judi dalam talian “online gaming” masih cuba beroperasi walaupun diberi arahan tutup sebelum ini.

“Semua premis ini akan dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Nordin berkata, pihak DBKK memohon kerjasama orang awam supaya mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan virus Covid-19 dan mematuhi PKP./BERITA SABAH