ELICA PAUJIN JUARA BIG STAGE 2022

KOTA KINABALU, 28 Mac — Elica Paujin muncul juara pertandingan nyanyian anjuran Astro, Big Stage 4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Anak jati Tambunan berusia 23 tahun itu muncul juara selepas mendapat markah tertinggi 78.93 berbanding empat peserta lain di final.

Elica yang berasal dari Kampung Tibabar, Tambunan pada final diberikan tugasan lagu bertajuk Cinta (Marsha Milan) untuk persembahan solo manakala persembahan duet, dia bergandingan dengan Hael Husaini untuk menyanyikan lagu Believer (Imagine Dragon).

Dengan kemenangan itu, Elica membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 selain trofi sumbangan Astro.

Selain Elica atau nama sebenarnya Angelica Paujin, empat finalis lain ialah Aisah Retno, Tegar Septian (Indonesia), Yazmin Aziz, dan Danial Chuer.

Sementara itu, seorang lagi anak jati Sabah dari Tawau, Danial Chuer muncul naib juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.

Dalam final tersebut, Danial mempersembahkan lagu Hilang Naluri (Once) untuk persembahan solo dan berganding dengan Shila Amzah bagi persembahan duet dengan lagu Still Love You (Lee Hong Gi, Yoo Hwe Seung)

Kesemua peserta ditugaskan untuk menyempurnakan dua persembahan lagu solo dan lagu duet (bersama artis jemputan) menerusi tema “Ultimatum Solo” dan “Ultimatum Duet”.