Mohd Khairulanuar (3 kiri) bersama pegawai beliau menunjukkan balat yang dijumpai dalam bot nelayan asing Vietnam
Oleh Kahar Ali
SANDAKAN : Enam nelayan warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan kerana disyaki menceroboh dan merompak hasi laut negara dengan menggunakan peralatan yang diharamkan berhampiran laut Kinabatangan pada Nov 5.
Pengarah APMM Sandakan, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, Kapal Maritim Kota Belud (KM Kota Belud) mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap dan bergerak laju ketika cuba dihampiri disyaki bot nelayan asing dari Vietnam.

Selepas insiden kejar mengejar selama 50 minit, bot itu akhirnya berjaya ditahan lebih kurang pukul 9.55 malam di posisi 15.5 batu nautika Timur Laut Kuala Kinabatangan Besar, kata Mohd Khairulanuar.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua enam awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berumur diantara 27 hingga 44 tahun disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah,” kata beliau.
Menurut Mohd Khairulanuar, bot itu disyaki menceroboh perairan Malaysia tanpa kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap balat (gamat) secara haram dengan menggunakan peralatan besi direka khas yang ditarik sehingga sampai ke dasar laut menyebabkan kerosakkan ekosistem terutamanya terumbu karang.

Tambahnya lagi, ini adalah kes keempat bot nelayan asing Vietnam ditahan sepanjang tahun ini oleh Zon Maritim Sandakan dengan menyasarkan balat.
Bot, peralatan dan hasil balat seberat 1 tan dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM 285,000 dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta perikanan 1985, kata Mohd Khairulanuar.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK