ESSCOM TAHAN 68 PATI DALAM OPS GASAK DI LAHAD DATU

Antara individu yang ditahan semasa Ops Gasak di Lahad Datu pagi tadi

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU : Seramai 68 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dalam Ops Gasak yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di dua lokasi berasingan di sekitar daerah ini, pagi tadi.
Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata operasi yang bermula seawal pukul 3.45 pagi dan berakhir pada 8.30 pagi itu memberi tumpuan terhadap perkampungan setinggan dan kawasan bandar yang disyaki menjadi tempat persembunyiaan PATI.
Antara lokasi yang menjadi sasaran operasi ialah di sekitar kg. Ipil dan Pasar awam, Lahad Datu.
Beliau berkata dalam operasi berkenaan, seramai 156 orang telah diperiksa dan di bawah ke pusat pemeriksaan sementara dokumentasi oleh pihak Imigresen.
“Hasil tapisan yang telah dibuat oleh imigresen, seramai 88 orang mempunyai dokumen pengenalan diri dan telah dibebaskan manakala selebihnya iaitu seramai 68 orang telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua PATI adalah warganegara Filipina dan Indonesia yang terdiri daripada 43 lelaki dan 25 perempuan yang berumur dalam lingkungan empat hingga 54 tahun, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hazani berkata, dalam operasi berkenaan juga, pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) telah membuat pemotongan elektrik di 40 buah rumah di kawasan Kampung Ipil kerana membuat penyambungan secara haram.
“Kesemua tahanan telah dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk proses dokumentasi dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63”, katanya.
Dalam pada itu, Hazani merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan dan penguatkuasa yang terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan.
“Operasi melibatkan 218 anggota dan pegawai dari Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen serta SESB itu bertujuan untuk membendung kebanjiran pendatang asing tanpa izin yang dilihat menyumbang kepada peningkatan kes-kes jenayah di daerah ini”.
“Selain itu, operasi ini juga digerakkan adalah bertujuan untuk mengesan saki-baki tali barut yang mendalangi kes-kes penculikan oleh kumpulan “Kidnapping For Ransom” (KFR) serta penjenayah-penjenayah rentas sempadan di kawasan Lahad Datu, Semporna dan Kunak”, katanya.
Beliau berkata pihak ESSCOM telah mengerakkan trup/pasukan dalam skala besar yang menggabungkan pelbagai agensi kerajaan dalam operasi ini adalah menunjukkan bahawa tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah khususnya di daerah ini berada dalam keadaan yang tinggi terutamanya di dalam memerangi isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan termasuk jenayah rentas sempadan seperti penculikan dan rompakan di laut.