TAWAU : Cubaan untuk membawa keluar sejumlah kayu Gaharu yang dianggarkan bernilai RM150,000 melalui satu syarikat penghantaran barang berjaya digagalkan oleh Pasukan Khas Jabatan Perhutanan Sabah baru-baru ini.
Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd. Jaini berkata, menggunakan khidmat syarikat penghantaran barang untuk menyeludup barang terlarang ini adalah taktik yang digunakan oleh penyeludup bagi mengelak kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa.

Beliau juga mengingatkan mana-mana syarikat penghantaran barang agar mengambil langkah berjaga-jaga kerana mereka juga boleh dikenakan tindakan kerana bersubahat melakukan aktiviti penyeludupan barangan hutan.Katanya lagi, kes ini sedang disiasat lebih lanjut dibawah Seksyen 30(1)(g) Enakmen Hutan 1968.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Orang awam dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang bercanggah dengan Enakmen Hutan 1968.
Menurut Mashor, Jabatan Perhutanan Sabah amat mengambil berat sindiket mencuri dan menyeludup Gaharu ini kerana ianya bukan sahaja akan mengakibatkan risiko kepupusan spesies Gaharu di dalam hutan tetapi juga telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada Kerajaan.
Produk daripada spesies Gaharu adalah dilarang untuk dieksport kecuali sumber pengambilan telah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah terlebih dahulu.
Di bawah CITES juga, Gaharu hanya boleh diperdagangkan jika permit CITES telah diperolehi daripada Pihak Berkuasa Pengurusan (Management Authority) CITES yang dilantik di bawah Akta CITES (Akta 686).

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK