GARA-GARA ALAT KAWALAN JAUH TELEVISYEN, BAPA JADIKAN ANAK TEBUSAN

KOTA KINABALU: Hanya kerana alat kawalan jauh televisyen, seorang bapa hilang pertimbangan sehingga hampir mencederakan anak kandungnya di Taman Seri Kionsom, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, polis terpaksa mengambil masa lebih 2 jam bagi menenangkan lelaki berusia 36 tahun itu yang mengugut akan menikam anaknya menggunakan pemutar skru.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semasa kejadian, suspek yang memaut leher anak lelakinya berusia 8 tahun turut mengacukan sambil beberapa kali menghentak pemutar skru di kepala kanak-kanak berkenaan.

Katanya, suspek turut mengugut anggota polis yang berada di lokasi kejadian supaya tidak merapatinya dan memberitahu akan menikam anaknya sendiri sekiranya ingkar.

“Suspek tetap berkeras tidak mahu melepaskan anaknya yang amat ketakutan ketika itu. Polis terpaksa menggunakan kaedah psikologi bagi menenangkan suspek sebelum dia menyerahkan pemutar skru kepada polis.

“Pasukan polis yang berada di lokasi kejadian terus menahan suspek dan dibawa balik ke Balai Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis syabu.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes suspek menetak isterinya kira-kira dua bulan lalu.

“Kes sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Suspek turut mempunyai dua kes dadah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *