GEMBIRA DAN LEGA TERIMA BANTUAN

TUARAN: Wajah kegembiraan dan kelegaan jelas terpancar di kalangan penduduk Taman Sri Rugading, dekat sini, selepas bantuan makanan disampaikan kepada golongan memerlukan di kawasan perumahan itu, semalam.

Seorang penduduk, Saplin Limun, berkata bantuan yang diterimanya itu adalah satu kelegaan dan berita gembira untuknya sekeluarga.

Saplin Limun

“Ini kerana semasa PKP, agak sukar untuk membeli makanan dan kita juga mempunyai kekangan dalam pergerakan.

“Justeru, kami bersyukur dengan bantuan yang yang diberikan dan ia memberi kecukupan saya dan keluarga

“Kami sekeluarga juga sangat berterima kasih dengan bantuan ini khususnya ahli parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima (Wilfred) Madius Tangau,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Calista Charlie Kinihing, 31, menyifatkan bantuan berkenaan pastinya menghadirkan kegembiraan serta meringankan beban keluarga yang memerlukan.

Calista Charlie Kinihing

“Saya sendiri cuma membantu menguruskan agihan bersama ketua-ketua blok yang sudah pun mengenal pasti para penghuni yang lebih memerlukan,” katanya.

Tambah Calista lagi, PKP yang kini dilanjutkan sehingga 14 April sedikit sebanyak telah menjejaskan kehidupan harian kebanyakan penduduk di Taman Sri Rugading.

“Sebab itu, ketua-ketua blok telah memainkan peranan untuk mengenal pasti penduduk yang benar-benar memerlukan dan semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban mereka,” katanya.

Terdahulu, penyampaian bantuan berupa makanan asas keperluan harian itu telah disempurnakan oleh Madius.

Ketika ditemui, Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, dan golongan miskin terus diberi keutamaan dalam penyaluran bantuan.

Menurutnya, selepas di Taman Sri Rugading yang juga salah satu Projek Perumahan Rakyat (PPR), bekalan akan disalurkan lagi di beberapa kawasan lain bagi mengurangkan bebanan mereka yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi pencegahan Covid-19.

“Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan bantuan bayaran sewa enam bulan kepada semua penghuni rumah PPR.

“Ia bagi membantu para penghuni menyimpan wang untuk kegunaan membeli makanan dan keperluan asas harian.

“Namun kita dapati terdapat segelintir yang masih tidak berkemampuan, justeru kita tampil memberi bantuan untuk mereka yang tidak bernasib baik ini,” katanya.

Hadir sama pada program itu, Setiausaha Politik Madius, Joisin Romut dan Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Majlis Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair./BERITA SABAH