PENAMPANG: Seorang lelaki dan wanita yang sedang melakukan aktiviti riadah berjoging, ditahan polis kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah taman perumahan di daerah ini, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 28 dan 30 tahun itu ditahan pasukan polis yang menjalankan tugasan sekatan jalan raya OP Covid-19, jam 5.20 petang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berdasarkan maklumat daripada orang awam menyatakan terdapat dua individu sedang berjoging dihadapan taman perumahan di daerah ini berhampiran lokasi sekatan jalan raya.

“Bertindak atas aduan itu, polis yang bertugas menjalankan sekatan jalan raya melakukan pemeriksaan dan melihat dua orang sedang berjoging di kawasan berkenaan.
“Kedua-dua suspek kemudian diberi amaran untuk pulang ke rumah tetapi tidak diendahkan,” katanya ketika ditemui selepas melakulan pemeriksaan sekatan jalan raya di Jalan Penampang Bypass, di sini, hari ini.
Mohd Haris berkata, berikutan keengganan mereka, polis bertindak menahan dan membawa suspek ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Polis Penampang serius menguatkuasakan PKP dan akan membuat lagi tangkapan kepada individu yang ingkar. Oleh itu, kita minta penduduk di daerah ini mematuhi PKP,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ