KOTA KINABALU: Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula dan Sambutan Ulang Tahun Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang dijadualkan berlangsung pada 21 Mac ini ditangguhkan.
Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, penangguhan itu sebagai langkah perihatin bagi menghindari penularan wabak Coronavirus 2019 (Covid-19) yang terus menunjukkan peningkatan di negara ini termasuk di Sabah.
“Kita memahami dan mengambil berat terhadap kebajikan para ahli UPKO, justeru keputusan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada penularan wabak dalam kalangan ahli.
“Pada masa yang sama, penangguhan ini juga seiring dengan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 – 31 Mac 2020 yang meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya,” katanya.
Madius berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Justeru, beliau turut berpesan agar semua pihak terus berwaspada dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta mematuhi arahan-arahan oleh pihak berwajib dalam memerangi penularan wabak Covid-19.
“Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula dan Sambutan Ulang Tahun UPKO kita akan umumkan pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak apabila situasi semasa kembali mengizinkan,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius