GERAN TANAH ADALAH HAK RAKYAT SABAH

BELURAN:Ketua menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan geran tanah adalah hak rakyat Sabah yang dinafikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas berpuluh tahun.

Katanya, oleh sebab itu dasar kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) sejak 2018 adalah bagi memastika rakyat mendapat hak mereka.

Beliau yang juga presiden Warisan turut menyerlar desakan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang meminta siasatan dibuat terhadap langkah kerajaan menyerahkan geran tanah individu kepada rakyat.

”Kenapa PBS tiba-tiba sahaja bising dengan pemberian geran itu yang telah dimulakan sejak awal 2019 sedangkan sebelum ini Tan Sri Musa Aman hanya memberikan geran komunal setiap kali musim pilihan raya tiba, PBS hanya berdiam diri.

“Kalau mereka boleh menyerahkan geran tanah, kenapa kita tidak boleh menyerahkannya.

”Ini tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah daerah Beluran, di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan siasatan terhadap Shafie berikutan penyerahan geran tanah yang dilakukan kerajaan Warisan.

Shafie berkata, semasa kempen pilihan raya umum 2018, BN secara terang-terangan memberikan geran kepada rakyat, namun apa yang dilakukan oleh Warisan sekarang sebenarnya telah bermula sejak awal tahun 2019.

Beliau berkata, rakyat kini tidak perlu menunggu lama untuk mendapat geran, malah lebih banyak geran telah diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sejak Warisan memerintah yang akan diserahkan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai rancangan membina lebih banyak universiti di Sabah, beliau berkata, sudah sampai masanya pembinaan lebih banyak institusi pendidikan kerana sesuai dengan keperluan dan populasi yang semakin meningkat.

Sehubungan itu katanya, melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi, beliau mengalakkan kerjasama universiti luar negara dengan universiti tempatan untuk melahirkan lebih ramai graduan tempatan.-http://beritsabah.com