SANDAKAN: Kerajaan persekutuan perlu meneruskan projek Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sandakan yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu, Pakatan Harapan (PH) untuk kebaikan rakyat.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata UTC Sandakan yang dicadang ditempatkan di Menara MPS adalah antara usaha kerajaan PH untuk mempertingkat sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat, sekali gus memajukan pusat bandar Sandakan.
Bagaimanapun, jelasnya, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Kamar Khas Parlimen, semalam menyatakan projek UTC Sandakan telah ditangguhkan berikutan faktor kedudukan kewangan kerajaan semasa.
“Saya sendiri telah menghadiri sesi taklimat berkenaan projek UTC Sandakan di Unit Perancang Ekonomi di Kota Kinabalu pada September 2019.
“Saya juga turut serta dalam lawatan tapak bersama Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, pada Februari tahun ini untuk memastikan projek berjalan lancar.
“Ia kemudian dijangka siap hujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sambil melahirkan rasa kesal, Vivian berkata, kemudahan agensi kerajaan di daerah ini yang sebahagian besar dibina sejak lebih tiga dekad lalu tidak dapat menyediakan perkhidmatan dan menampung keperluan penduduk.
Katanya, adalah penting agar kemudahan seperti itu dipertingkat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada penduduk di Sandakan serta daerah sekitar seperti Beluran, Kinabatangan dan Tongod.
Vivian turut menggesa menteri agar mengetepikan perbezaan politik dalam soal penyediaan keperluan infrastruktur dan perkhidmatan kepada rakyat kerana tanggungjawab kerajaan adalah untuk menjaga kebajikan rakyat.
“Menteri Kewangan dalam jawapan beliau juga menyatakan bahawa ketika ini sudah ada tiga UTC di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Tawau dan Keningau.
“Adakah Menteri menjangkakan rakyat di sini perlu memandu sehingga enam jam untuk pergi ke UTC yang dikatakan untuk urusan kerajaan?” katanya.-http://beritasabah.com
More Stories
Gabungan GRS-PH Plus tentukan hala tuju politik Sabah hadapi PRN – Armizan
Tamu Desa Kampung Pelakat jadi pusat aktiviti keusahawanan komuniti jual produk pertanian, hasil laut di Sipitang
Aksi akhir Liga Super: Peluang pemain muda tunjuk kualiti