KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Mohd Zuki Ali, berkata hanya pengarah pembangunan negeri bagi Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan yang dijemput hadir ke mesyuarat khas bagi menyelaraskan perintah kawalan pergerakan antara negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam kenyataannya, Mohd Zuki turut memintah maaf kepada beberapa ketua negeri yang tidak dijemput ke mesyuarat khas itu.
“Sehubungan itu, saya bagi pihak urusetia mesyuarat ingin memohon maaf atas kekhilafan yang timbul berkaitan dengan jemputan yang hanya dikeluarkan kepada semua menteri besar dan ketua menteri kerajaan negeri dari parti komponen kerajaan persekutuan.
“Bagi negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah, hanya pengarah pembangunan negeri yang dijemput hadir,” katanya.
Sementara itu, KSN menegaskan bahawa perdana menteri telah menyatakan pendirian jelas untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri tanpa mengambil kira latar belakang politik.
“Sekali lagi ditegaskan, bahawa perdana menteri memandang serius tentang perkara ini dan menyatakan pendirian jelas beliau untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri tanpa mengambil kira apa jua latar belakang parti politik khususnya berkaitan perkara yang menjadi kepentingan utama negara seperti wabak Covid-19.
“Dimaklumkan perdana menteri telah mengeluarkan arahan supaya semua menteri besar dan ketua menteri dijemput hadir mesyuarat khas bagi menangani penularan Covid-19 pada masa akan datang,” katanya lagi./BERITA SABAH

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad