KOTA KINABALU: Kegagalan mematuhi perintah kawalan pergerakan mungkin boleh mengakibatkan gelombang ketiga Covid-19 berlaku, seterusnya menjadi lebih besar seperti tsunami.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu boleh berlaku jika orang ramai masih tidak mematuhi arahan berkenaan, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai sikap ‘tidak kisah’.
“Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap ‘tidak kisah’.
“Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, sila ambil perintah kawalan pergerakan ini secara serius. Duduk di rumah dan jangan keluar,” tulis beliau di Facebook.
Noor Hisham berkata, Malaysia kini mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 di seluruh negara.
“Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah, berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
Penyebaran wabak Covid-19 yang membawa maut telah meragut nyawa dua rakyat Malaysia dan menjangkiti lebih daripada 600 orang setakat semalam.
Kerajaan sedang menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan yang mewajibkan kebanyakan perniagaan ditutup dalam usaha menghalang orang ramai berkumpul, seterusnya melambatkan penyebaran Covid-19.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad